fbpx

Floria Diraja Putrajaya 2022 dilanjutkan sehingga 11 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahidan ketika berucap pada Majlis Penutup Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4 di sini, hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (Royal Floria Putrajaya) 2022 dilanjutkan sehingga 11 September ini susulan sambutan luar biasa daripada pengunjung sejak ia dibuka 29 Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, lanjutan penganjuran itu dibuat selaras dengan cuti persekolahan yang bermula 5 hingga 11 September ini.

Beliau berkata, bermula esok juga, tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Floria Diraja Putrajaya 2022.

“Saya juga mengumumkan Bunga Raya atau Bunga Hibiscus rosa-sinensis diisytiharkan sebagai bunga rasmi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Floria Diraja Putrajaya 2022, hari ini.

Shahidan berkata, susulan daripada sambutan yang amat menggalakkan dan mengambil kira minggu cuti sekolah, beliau telah meminta Perbadanan Putrajaya (PPj) agar program itu yang sepatutnya melabuhkan tirai pada 4 September lalu, disambung selama dua hari lagi iaitu sehingga ke hari ini, 6 September.

“Floria Diraja Putrajaya 2022 telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri dengan kemunculan beberapa ikon baharu yang bakal menjadi ciri-ciri bersinonim dengan acara ini seperti Gemerlapan FLORIA, Dinding Mural, Dinding Dekorasi Orkid, Terowong Oncidium, dan Tribute to Frontliners.

“Kreativiti dan inovasi Taman Keluarga Malaysia yang diperkenalkan buat julung kalinya juga menarik minat rakyat untuk menghargai keindahan landskap dan alam sekitar,” katanya.

Katanya, walaupun hanya lapan negara luar yang menyertai Floria Diraja Putrajaya 2022 ekoran pandemik Covid-19 namun beliau difahamkan ramai peserta luar negara telah pun menyuarakan hasrat mereka untuk menyertai penganjuran seterusnya.

Shahidan berkata, pencapaian itu penting buat Kementerian Wilayah Persekutuan dan PPj untuk meletakkan jenama Floria Diraja Putrajaya 2022 ini di peta festival taman dan bunga-bungaan sedunia.

“Ini kerana, FLORIA Diraja Putrajaya bukan sahaja suatu pameran bunga-bungaan hidup semata-mata, malah ia merupakan satu festival yang dapat mewujudkan peluang ekonomi dan perniagaan kepada usahawan, sekali gus merangsang pertumbuhan industri bunga-bungaan, landskap dan juga pelancongan negara.

“Floria Diraja Putrajaya adalah jenama terbaik bagi mengangkat nama Putrajaya ke pentas antarabangsa, dan terus dikenali sebagai antara lokasi penganjuran terbaik festival bunga dan taman di dunia.

“Jadi, amat wajarlah sekiranya festival ini diteruskan penganjurannya setiap tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI