PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung pada malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan antara kawasan berisiko adalah Baling, Kedah serta beberapa daerah sekitar Perak seperti Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
Sementara itu, amaran yang sama turut melibatkan negeri Kelantan tertumpu di Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala bagi Terengganu pula adalah Dungun serta Kemaman.
“Di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Selain itu, amaran ribut petir turut dikeluarkan di Johor dengan risiko tinggi pada kawasan Mersing dan Kota Tinggi,” katanya.
Jelas MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran ini juga susulan daripada laporan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang sedang melanda kawasan-kawasan tersebut ketika dan dijangka berlarutan sehingga pukul 10 malam nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE