BALING – Keadaan banjir di Taman Bayu Sejahtera dekat pekan Baling telah surut pada pukul 8 malam ini, namun air didapati masih mengalir deras di kawasan jajaran Iboi, Kupang di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, air masih deras di kawasan jajaran Iboi setakat pukul 9 malam tadi dan dijangka melanda taman perumahan di Pekan Kupang.
Katanya, jambatan Bailey yang didirikan di Iboi telah dinaiki air dan hasil pemerhatian kasar mendapati terdapat kerosakan struktur pada jambatan tersebut.
“Sehubungan itu, jambatan itu ditutup pada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, seramai 120 orang dari 27 rumah telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Padang Empang.
“Air mula naik di Kampung Bendang Bechah dan Kampung Hangus dan penduduk dinasihatkan supaya berpindah,” ujarnya.
Tambahnya, pihak polis dan agensi di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berada di tempat kejadian bagi memantau perkembangan semasa.
“Setakat ini cuaca baik dan tiada insiden kehilangan ahli keluarga dilaporkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE