PASIR MAS – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 578 kes penderaan fizikal direkodkan, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes penderaan emosi.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 706 kes melibatkan kanak-kanak perempuan manakala 349 kes terdiri kanak-kanak lelaki.
“Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) telah ditubuhkan bagi menyelesaikan kes penderaan yang diterima oleh JKM. Ia berperanan melaksanakan program advokasi berkaitan hak kanak-kanak yang disertai oleh remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.
“Selain itu, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak direkodkan dari awal tahun ini hingga Jun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Siti Zailah, daripada jumlah itu, sebanyak 641 kes melibatkan kes rogol, rogol berkumpulan (47 kes), sumbang mahram (127 kes), seks luar tabii (95 kes) dan cabul (438 kes).
Katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, statistik PDRM itu menunjukkan perkembangan yang tidak sihat selain pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada jenayah seksual.
“Maklumat daripada pihak PDRM juga menunjukkan, sejumlah 106,764 alamat protokol internet (IP) yang berdaftar di negara ini telah membuat perkongsian pornografi kanak-kanak sejak tahun 2017 hingga Ogos tahun ini.
“Sehubungan itu, internet dan gajet merupakan keperluan untuk pembelajaran kanak-kanak, namun kurangnya pengawasan ibu bapa menyebabkan mereka terdedah kepada laman web dan aplikasi tidak bermoral,” katanya. – KOSMO! ONLINE