KUALA LUMPUR – Kehidupan seorang ibu tunggal ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja terpaksa mengemis bersama anaknya selepas kematian suami, malah tidak diterima bekerja kerana penyakit asma yang dihidapinya.
Sejak tiga tahun lalu, kelibat Norazahalena Hassan, 43, mengemis bersama anak lelakinya, Muhammad Saiful Nizam Ku Suhaimi, 4, sering dilihat di sebuah stesen minyak di Jalan Chow Kit di sini.
Katanya, dia sudah ‘kebal’ daripada jelingan dan kata nista orang ramai kerana apa yang penting ialah mencari sesuap nasi untuk mereka dua beranak.
“Saya hanya mahu pastikan anak saya cukup makan, ada tempat tidur. Kalau saya tak mengemis, tiada orang datang bantu dan kami akan kelaparan.
“Suami saya meninggal dunia hujung 2019 akibat kemalangan dengan treler dan sejak itu kami hilang tempat bergantung.
“Saya terpaksa berpindah dari rumah sewa di Puchong disebabkan tidak mampu menampung sewa bulanan dan kini berteduh di bilik kecil dengan bayaran RM25 sehari,” katanya.
Menurut Norazahalena, dia segan untuk meminta bantuan keluarga mentua di Kedah selain tiada saudara mara, manakala ibu bapanya sudah meninggal dunia lapan tahun lalu.
Tambahnya, dia pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan, namun tidak bertahan lama apabila rata-rata majikannya kurang senang dengan prestasi kerjanya kerana sering meminta untuk berehat akibat diserang asma.
“Saya menghidap asma kronik sejak kecil dan sekarang ia semakin teruk dan menyukarkan saya untuk melakukan kerja,” katanya.
Ujar Norazahalena, dia dan anaknya akan duduk di stesen minyak tersebut setiap hari bermula pukul 8 malam untuk meminta sumbangan.
“Saya berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu kami menyediakan tempat tinggal lebih selesa,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank atas nama Norazahalena di nombor 168603088814 atau boleh menemuinya di salah sebuah stesen minyak di Jalan Chow Kit di sini.