PUTRAJAYA – Seramai 7,720 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2022 yang akan dilaksanakan di 209 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) memaklumkan SPMU akan dilaksanakan pada 12, 13 dan 14 September ini.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, seramai 1,317 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan 1,441 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis.
“LP ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU 2022 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya.
Katanya, jadual waktu peperiksaan SPMU 2022 dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.-KOSMO! ONLINE