fbpx

Remaja 15 tahun teruja kembali ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIP Chee (dua dari kanan) bersama Zulkafli (kiri) menyerahkan surat tawaran kepada Tharmarhaja (tengah) di Ampang Jajar, di sini hari ini. /FOTO SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Seorang remaja berusia 15 tahun tidak dapat menyembunyikan kegembirannya apabila berpeluang menyambung semula sesi pembelajaran setelah hampir lapan bulan tidak hadir ke sekolah akibat masalah kewangan keluarga.

S. Tharmarhaja berkongsi keterujaannya setelah menerima surat tawaran untuk kembali bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam minggu depan.

“Saya amat teruja dan terus Whatsapp rakan-rakan untuk memaklumkan yang saya akan kembali bersekolah. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk belajar semula selepas terpaksa meninggalkan alam persekolahan sejak Januari lalu akibat masalah kewangan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga dan menguruskan kemasukan sekolah untuk saya dan adik-adik,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah pangsa Ampang Jajar, di sini hari ini.

Selain Tharmarhaja, dua adiknya, Herash,10 dan Yoshwin,8 turut akan kembali bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin hadir ke kediaman mereka pagi tadi.

Ogos lalu, Kosmo! melaporkan seorang ibu anak empat hidup dalam serba kekurangan selepas rumah sewa di Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal yang didiami terbakar Mei tahun lalu.

Lebih memeritkan lagi, tiga anak T Mogana Selvi,39, terpaksa berhenti sekolah sejak awal tahun ini akibat dihimpit masalah kewangan manakala anak keduanya, Teyanayagi yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masih belajar di Pusat Tunas Harapan (PEKTAS) di Mak Mandin tajaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI