KUALA LUMPUR – Landskap pokok hiasan di beberapa jalan sekitar Dataran Merdeka yang dilaporkan musnah dipijak orang awam semasa menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu lalu dilihat masih belum digantikan baharu.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja mendapati, kerja-kerja pembersihan dilaksanakan kontraktor landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah selesai.
Bagaimanapun, terdapat beberapa ruang kosong di sekitar landskap yang rosak sehingga mencacatkan pemandangan bagi pejalan kaki serta warga kota yang melalui jalan-jalan berkenaan.
Pekerja swasta, Muhammad Irfan Muhamad Joha, 21, berkata, dia kecewa terhadap sesetengah individu yang tiada rasa tanggungjawab.
“Selepas menyambut kemerdekaan, rakyat di negara ini sepatutnya berasa semangat patriotik, namun berlaku hal sebaliknya.
“Perasaan tanggungjawab sivik dalam masyarakat negara ini masih rendah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Nur Hamizan Suhaimi, 23 pula berkata, penganjur perlu mengambil iktibar akan kejadian yang berlaku selain melaksanakan acara dengan lebih terkawal supaya tiada kerugian berlaku di masa hadapan.
Sementara itu, DBKL memaklumkan kerja-kerja penggantian pokok hiasan yang baharu setakat ini masih belum dilaksanakan susulan kerja-kerja pembersihan baru sahaja selesai.
Jelasnya, jangka waktu kerja-kerja penggantian serta pemulihan pokok hiasan untuk kembali seperti asal belum dapat dipastikan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan DBKL mengalami kerugian kira-kira RM700,000 apabila landskap yang dihiasai oleh pokok bunga hiasan rosak pada sambutan Hari Kebangsaan.
Memetik kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, kerosakan yang dialami sekitar Dataran Merdeka berkemungkinan kerana kehadiran pengunjung yang ramai melebihi 200,000 orang.