PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain mengakui kemenangan besar 5-0 ke atas Melaka United kelmarin memberi makna tersendiri terhadap dirinya.
Beliau berkata, kemenangan itu pertama diraihnya ke atas Melaka United sebagai ketua jurulatih TFC setelah tiga kali seri dan satu kekalahan sejak musim 2019.
“Peluang kami untuk memburu kedudukan tiga teratas Liga Super semakin cerah dengan kemenangan ini.
“TFC hanya ketinggalan tiga mata di belakang Negeri Sembilan dan tujuh mata dengan Sabah berbaki lima perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Mohd. Nafuzi berkata, walaupun hanya menjaringkan satu gol pada babak pertama, jaringan kedua pada minit ke-61 telah menaikkan moral pasukan dan hasilnya skuad Sang Penyu berjaya menambah tiga lagi gol.
Jurulatih berusia 44 tahun itu memberitahu amat puas kerana sudah lama TFC tidak meraih kemenangan dengan jaringan besar.
“Lebih manis adalah ini kali pertama menang ke atas Melaka United sejak tiga tahun saya mengemudi skuad,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Melaka United, Asri Ninggal mengakui ketiadaan ramai pemain tonggak termasuk tonggak import punca kekalahan besar itu.
Beliau berkata, situasi itu menyebabkan skuad kendaliannya turun tanpa kekuatan sebenar dan hanya bergantung kepada penyerang import, Ifedayo Olesegun untuk mengetuai jentera serangan.
“Sudah tentu sebagai jurulatih saya mahu barisan kesebelasan terbaik, malangnya kami tiada kelebihan itu. Kita juga tahu TFC akan bermain dalam final Piala FA dan moral mereka pada tahap terbaik.