KOTA TINGGI – Mayat pemancing yang hilang selepas terlibat kemalangan dua buah bot di Kampung Sungai Sembayong semalam berjaya ditemui tersangkut pada pukat bot nelayan petang tadi.
Mayat anggota tentera, Mohd. Fauzi Husin, 33, dijumpai pada pukul 3.20 petang kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa tercampak.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, operasi hari kedua itu melibatkan pencarian yang dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.
Katanya, seramai 11 anggota dari BBP Kota Tinggi dan BBP Sebana Cove, 10 orang anggota Pasukan Penyelam Di Air dari BBP Skudai dan BBP Mersing turut dihantar ke tempat kejadian.
“Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400 meter dari kawasan mangsa dipercayai jatuh dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan selaman.
“Mangsa telah dijumpai tersangkut pada salah satu pukat bot nelayan tempatan kira-kira pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Dalam kejadian itu seorang lagi mangsa cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pencarian turut dibantu oleh orang kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan.
Terdahulu, akibat perlanggaran dua buah bot kuasa rendah berukuran 15 dan 30 kaki itu mengakibatkan mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dari memancing tercampak ke sungai.
Ekoran itu dua daripada pemancing berusia 38 dan 29 tahun berjaya di selamatkan oleh orang awam manakala mangsa telah hilang.- KOSMO! ONLINE