SAUDARA PENGARANG,
Saya, suami dan anak-anak antara ribuan pengguna transit aliran ringan (LRT) yang begitu kecewa ketika menggunakannya untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka Rabu lalu.
Saya tidak pasti dengan pengangkutan awam lain tetapi pada hari itu, perkhidmatan LRT telah mencacatkan suasana menyambut merdeka di sebalik persiapan dan persembahan yang memukau selepas dua tahun kita tidak melakukannya.
Pihak Rapid KL sepatutnya sudah menjangkakan orang ramai akan membanjiri lokasi tersebut dan menggunakan LRT sebagai pengangkutan ke sana kerana semua pihak maklum yang kita sudah lama tak meraikannya.
Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada dua stesen seperti Masjid Jamek dan Bandaraya kerana di situlah terdapat penumpang yang ramai. Rapid KL perlu lebih bijak dalam perkara ini.
Antara kelemahan yang saya perhatikan ialah mesin tiket bermasalah, tiada pegawai perkhidmatan dan polis bantuan, tiada kawalan kerana kawasan stesen dipenuhi orang ramai yang menyukarkan pergerakan kecemasan, pintu masuk sesak, kad imbas tidak berfungsi dan sebagainya.
Ibu bapa yang membawa anak kecil, wanita, orang tua dan lain-lain juga sukar bergerak.
Saya berharap pihak kerajaan campur tangan dalam hal seumpama ini bagi memastikan pihak pengurusan Rapid KL lebih peka, efisien dan bersedia lebih awal untuk acara besar seperti di masa akan datang.
Rasionalnya agak tidak adil apabila kami diminta menggunakan pengangkutan awam, tapi akhirnya kami yang jadi mangsa.
PENGGUNA LRT KECEWA,
KUALA LUMPUR