LONDON – Liz Truss diumumkan sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu hari ini, selepas memenangi undian kepimpinan dalaman bagi parti Konservatif.
Bekas Setiausaha Kementerian Luar itu mengalahkan pesaingnya yang merupakan mantan Menteri Kewangan, Rishi Sunak, dengan 81,326 undian berbanding 60,399, selepas persaingan sepanjang musim panas yang disebabkan oleh peletakan jawatan Boris Johnson Julai lalu.
Sejurus selepas diumumkan memenangi undian, Truss berikrar untuk menyampaikan ‘pelan berani’ bagi memotong cukai, mengembangkan ekonomi Britain dan menangani lonjakan kos tenaga.
“Saya akan melaksanakan pelan berani yang memotong cukai dan mengembangkan ekonomi negara.
“Saya juga akan menangani krisis tenaga serta menyelesaikan masalah kenaikan bil tenaga rakyat,” katanya.
Susulan kemenangan tersebut, Truss, 47, akan menjadi Perdana Menteri Britain ke-15 semasa pemerintahan Ratu Elizabeth II.
Beliau juga akan menjadi Perdana Menteri Britain wanita yang ketiga selepas Theresa May dan Margaret Thatcher.
Truss bakal membentuk kerajaan esok (Selasa), sejurus selepas Johnson mengemukakan peletakan jawatannya secara rasmi kepada Ratu Elizabeth. – AFP