fbpx

[KEMASKINI] Polis sahkan lelaki maut terkena letupan bom ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang maut, rakan parah terkena letupan bom ikan.

IPOH – Polis mengesahkan kejadian yang mengorbankan seorang lelaki di Pusat Rekreasi Lata Kekabu dekat Lenggong hari ini akibat terkena bahan letupan ketika menghasilkan bom ikan.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 40 tahun cedera parah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, mangsa dipercayai menghasilkan sendiri bom tersebut berikutan penemuan peralatan dan mercun bola.

Katanya, kesemua bahan kes yang dirampas itu akan dihantar ke bahagian forensik untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah di leher dan mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

“Seorang lagi lelaki cedera parah pada tangan dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang termasuk menggunakan bahan letupan bagi tujuan menangkap ikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI