fbpx

‘Kami tak mahu tinggal di sini lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fikri (kiri) dikunjungi pegawai polis yang melawatnya di rumahnya di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Bapa kepada dua kanak-kanak yang rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini kelmarin, pernah berhasrat mahu membawa ahli keluarganya berpindah ke rumah lain dalam masa terdekat.

Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, berkata, dia berpindah ke rumah itu yang terbakar dalam kejadian pada pukul 1.41 tengah hari tersebut kira-kira empat bulan lalu kerana mendapat kerja di kawasan berhampiran.

“Tak sangka kejadian (kebakaran) ini menimpa keluarga saya. Sebelum ini, saya pernah bercadang untuk berpindah ke tempat lain, tetapi apakan daya tidak sempat.

“Saya buat keputusan tinggal di sini kerana dapat kerja di kawasan berhampiran. Ini kali pertama saya berpindah selepas mendirikan rumah tangga de­ngan isteri (Nurul Ain Najihah Zulkifli) kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui pembe­rita semalam.

Menurut pemuda itu, dia tidak mahu lagi tinggal di rumah tersebut kerana terlalu banyak kena­ngan bersama arwah dua anak­nya iaitu Muhammad Zafran, 3, dan Nurul Hawa Zafira, 2, sepanjang empat bulan menyewa di situ.

“Benda (kejadian) sudah pun berlaku, kita tidak boleh jangka. Saya juga tidak boleh berbuat apa-apa lagi atau menyalahkan sesiapa. Sudah ajal mereka (anak-anak) jadi saya terima,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tambah lelaki itu, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh ibu saudaranya yang turut menetap di kawasan berhampiran sewaktu sedang be­kerja.

KAMARUL ZAMAN (depan, kiri) ketika melawat Muhammad Fikri (depan, kanan) yang kehilangan dua anak dalam kejadian kebakaran kelmarin.

“Ibu saudara menghubungi saya kerana telefon bimbit isteri turut terbakar dalam kejadian semalam (kelmarin).

“Anak-anak ketika itu baru lepas mandi dan makan, manakala isteri pula keluar untuk membuang sampah. Tidak sampai 15 minit kejadian berlaku, benda kita tak boleh jangka,” katanya.

Tambah Muhammad Fikri, kali terakhir dia berjumpa dan melihat anak-anaknya pada malam kelmarin sewaktu memberikan mereka susu sebelum tidur.

“Pada setiap malam memang saya yang membancuh susu untuk anak-anak sebelum mereka tidur,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Taman Istimewa di sini semalam.

Di rumah inilah dua beradik berusia tiga dan dua tahun rentung dalam kebakaran di Johor Bahru tengah hari kelmarin.

Mengulas lanjut, Muhammad Fikri membe­ritahu, isterinya masih bersedih dengan kejadian yang meragut nyawa dua anak mereka dan enggan bertemu dengan sesiapa.

“Anak-anak memang rapat dengan ibu mereka dan tidak pernah berenggang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, insiden kebakaran yang meragut nyawa dua kanak-kanak itu tidak melibatkan unsur jenayah.

“Berita ini memang menyedih­kan, apa yang boleh kita buat adalah menasihatkan keluarga yang mempunyai anak kecil supaya menjaga aspek keselamatan di rumah,” katanya selepas melawat keluarga mangsa semalam.

Kosmo! Online semalam melaporkan Muhammad Zafran, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, rentung dalam kebakaran di rumah keluarga mereka pada pukul 1.41 tengah hari.

Mayat dua beradik itu ditemui tertiarap dan berpelukan berhampiran pintu bilik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI