BEIJING – China memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa ia akan bertindak balas ke atas keputusan pentadbiran Presiden Joe Biden untuk menjual senjata bernilai lebih AS$1.1 bilion (RM4.9 bilion) kepada Taiwan.
Menurut laporan stesen penyiaran CNN, perkara tersebut disuarakan jurucakap kedutaan China, Liu Pengyu yang memaklumkan Beijing membantah keras urus niaga tersebut.
Pengyu berkata, isu tersebut sangat menjejaskan hubungan China-AS serta keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan.
Beliau turut menggesa agar Washington membatalkan serta-merta perjanjian tersebut dengan kadar segera.
Kenyataan Pengyu di laman Twitter itu muncul selepas pentadbiran Biden pada Jumaat lalu secara rasmi memaklumkan Kongres mengenai cadangan penjualan senjata termasuk sehingga 60 peluru berpandu antikapal dan 100 peluru berpandu udara-ke-udara kepada Taiwan.
Jabatan Negara berkata, penjualan itu selaras dengan dasar AS sedia ada untuk menyediakan senjata pertahanan ke pulau tersebut dan menyifatkan peruntukan pantas sedemikian sebagai penting untuk keselamatan Taiwan.
Bagaimanapun, China sebaliknya menuduh AS sebagai sengaja campur tangan dalam apa yang dianggap sebagai hal ehwal dalaman negara itu.
“AS campur tangan dalam hal ehwal dalaman China, sekali gus menjejaskan kedaulatan dan kepentingan keselamatan negara ini dengan menjual senjata kepada Taiwan.
“Ia menghantar isyarat yang salah kepada pasukan ‘kemerdekaan Taiwan’ selain amat menjejaskan hubungan China-AS serta keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” kata Pengyu menerusi Twitter.
Beliau selai itu turut meminta agar AS menghormati prinsip Satu China yang dipegang oleh Beijing selama ini dan menegaskan walau apa pun terjadi, Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari Tanah Besar. – Agensi