SEVILLE – Pelaburan besar dilakukan Barcelona musim ini ternyata berbaloi apabila gergasi Sepanyol itu seperti sudah kembali menemui tahap sebenar selepas merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan La Liga.
The Catalans yang masih belum tewas dalama semua empat perlawanan La Liga, mencatat kemenangan 3-0 ke atas salah satu pasukan pencabar, Sevilla pada aksi di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi semalam.
Ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez mendakwa, Sevilla seharusnya berterima kasih kepada pasukannya yang sepatutnya boleh menang dengan jurang jaringan lebih besar dalam perlawanan itu.
“Kami mempunyai peluang untuk menghasilkan lebih banyak gol. Ini adalah satu petanda baik apabila anda bertandang ke Sevilla yang sentiasa memerlukan pasukan anda berada pada tahap terbaik,” katanya.
Tiga gol Barcelona dalam perlawanan itu dihasilkan oleh Raphinha pada minit ke-21, Robert Lewandowski (m-36) dan Eric Garcia (m-50).
Ia adalah jaringan peribadi kelima daripada Lewandowski daripada empat aksi setakat ini sejak berhijrah daripada Bayern Munich pada Julai lalu.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona melonjak ke tangga kedua, dua mata di belakang juara bertahan, Real Madrid yang turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Real Betis dalam satu lagi aksi La Liga kelmarin.
Selepas ini, Barcelona akan menanti kunjungan jaguh Republik Czech, FC Viktoria Plzen untuk aksi Kumpulan C kempen Liga Juara-Juara di Stadium Camp Nou pada Khamis.
Real pula selaku juara Eropah akan bertandang ke Scotland menentang Celtic bagi saingan Kumpulan F awal pagi Rabu ini. – AGENSI