CANBERRA – Seorang wanita yang bergelut dengan kanser otak menerima sijil ijazah sarjana ketika berada dalam keadaan koma di sebuah hospital di Australia, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Anna Yu, 28, menerima ijazah sarjana perakaunan dari Universiti Charles Darwin (CDU) kelmarin selepas menghabiskan tempoh belajar selama dua tahun.
Yu menghabiskan masa enam bulan lalu untuk melawan sejenis kanser otak yang jarang berlaku selepas dia melahirkan anak pertamanya pada Februari lalu.
Pada Jun lalu, Yu didiagnosis dengan glioblastoma multiforme (GBM) iaitu sejenis tumor yang agresif dan berkembang pesat dalam batang otaknya (stem brain). Doktor menemui tumor bersaiz 10 sentimeter (sm) di tulang belakangnya.
Suami Yu, Will Hou berkata, isterinya kemudian koma akibat diserang sawan selepas mengalami demam panas.
CDU memaklumkan Hou bahawa ijazah isterinya akan diserahkan kepadanya di hospital dalam apa yang disifatkan sebagai ‘peristiwa penting’.
Semasa Yu berbaring di katil hospital dengan memakai jubah graduasi, ibu bapa dan bayi perempuannya menangis. Dia tidak dapat bergerak sendiri, membuka mata atau memenelan tetapi masih mendengar.
Kakitangan hospital di CDU menangis ketika dan meraikan pencapaian luar biasa Yu.
Dengan menjalani rawatan penting, Yu diberitahu dia hanya mempunyai baki tiga hingga enam bulan untuk hidup.
“Apabila saya berkongsi berita gembira ini (mengenai ijazah) dengan jururawat dan doktor, mereka semua menangis dan mereka sangat teruja,” katanya.
GBM biasanya muncul pada orang yang berumur dalam lingkungan 60-an dengan kebarangkalian tiga dalam 100,000 orang. Malangnya, kadar kelangsungan hidup bagi pesakit menurun daripada 40 peratus pada tahun pertama selepas diagnosis kepada hanya 17 peratus pada tahun kedua. – Agensi