BEIJING – Seorang wanita di Chengdu, China dirakam bertengkar dengan sepasang kekasih apabila permintaannya untuk mendapat ganjaran kerana memulangkan sebuah telefon pintar tidak dilayan, lapor portal Mothership semalam.
Kejadian yang berlaku pada 28 Ogos lalu dikatakan bemula apabila telefon pintar seorang pelajar universiti tercicir dan ditemui oleh wanita tersebut.
Bagaimanapun, ketika mahu memulangkannya kembali, dia menuntut ganjaran sebanyak SGD$121 (RM390) atau telefon itu tidak akan diberikan kepada pemilik asal.
Pelajar tersebut dan teman lelakinya enggan membayar jumlah yang diminta dan hanya sanggup memberikan wang sebanyak SGD$20 (RM64).
Perkara tersebut menimbulkan kemarahan wanita itu dan dia mula menengking pasangan berkenaan serta mengekori mereka di sekitar taman berdekatan.
“Saya kembalikan semula telefon anda kerana anda menjanjikan ganjaran SGD$121.
“Anda perlu ingat bahawa jika saya tidak menemuinya, anda mungkin sudah kehilangan telefon itu,” jerit wanita itu di tengah-tengah khalayak ramai.
Situasi tersebut terpaksa dileraikan pihak polis yang campur tangan dan memaklumkan kepada wanita tersebut bahawa nilai ganjaran adalah di atas budi bicara pemilik.
Isu tersebut akhirnya selesai dengan wanita itu duduk sambil menangis di sebelah kenderaan polis dan pasangan berkenaan meninggalkan lokasi bersama telefon serta tiada sebarang ganjaran diberikan. – Agensi