PETALING JAYA – Seorang bakal ibu berkongsi pengalamannya kini sedang hamil namun bertindak mahu gugurkan kandungan kerana masih tidak bersedia untuk membesarkan cahaya matanya itu.
Perkaranya itu mendapat reaksi yang sama apabila dia bertanyakan soalan yang sama kepada suaminya yang juga tidak bersedia mempunyai cahaya mata.
Katanya, dia yang hampir setahun berkahwin tidak mahu mempunyai anak sehingga merasakan sudah bersedia memilikinya suatu hari nanti.
“Saya dan suami sentiasa menggunakan ‘keselamatan’ untuk tidak hamil, sekarang haid saya lewat seminggu dan keputusan menunjukkan positif hamil, saya cuak.
“Perasaannya tak seronok, reaksi suami saya juga begitu, saya tidak bersedia mental dan fizikal lagi kerana gaji hanya ‘cukup makan’ dan pergi kerja bawa bekal dari rumah,” katanya.
Wanita tersebut yang buntu itu meminta pengalaman orang ramai yang pernah gugurkan kandungan untuk menasihatkan dia dan suami berkenaan situasinya sekarang.
“Sekarang kami fikir untuk gugur sahaja, siapa ada pengalaman gugur kandungan? Persiapan apa perlu kami buat kalau nak gugur? Terima kasih sudi berkongsi,” katanya.
Perkongsian tular di Twitter dibuat secara tanpa dikenali tuan badan itu, mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bersetuju dan sebaliknya dengan solusi dipilih wanita tersebut.
“Salah satu tujuan kita berkahwin adalah untuk melahirkan zuriat. Jgn risau, teruskan, setiap manusia rezeki dia dah dijanji oleh Allah sejak dia lahir. Selebihnya atas usaha dan doa kita,” kata Sadik.
“Saya nasihatkan terima bayi itu. Dia akan jadi penghibur dan pengikat kita nanti. Tak perlu risau tentang rezeki. Setiap makhluk dijamin dengan rezeki masing-masing. Saya ada 9 orang anak. Tak pernah susah pun walau pendapatan kecil,” kata A.N.Aziz.
“Konsep ‘anak ialah rezeki’ tidak boleh dipakai sekarang, dengan kenaikan inflasi lagi. Perlu ada perancangan sebelum memiliki anak,” ujar Tuan Bohlool. – KOSMO! ONLINE.