fbpx

Suami isteri hidup mewah jadi tokan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri yang aktif menjalankan sindiket pengedaran dadah sejak Mei lalu diberkas polis di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan dua suspek warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun ini membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan pelbagai jenis dadah di sebuah pangsapuri di Larkin, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan bermula 5 petang hingga 8 malam itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM214,287.

“Pasangan suami isteri itu menyewa pangsapuri yang berpagar dan berpengawal di Larkin bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis dadah.

“Di pangsapuri yang sama, pasangan itu membungkus semula pelbagai jenis dadah dalam pelbagai saiz bungkusan mengikut permintaan pengguna,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram (g) serbuk ekstasi, 38.23g syabu, 71g ketamin serta mesin pengisar dan alat penimbang temasuklah wang tunai RM510.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi pasangan itu adalah dengan menjadi orang tengah diantara pembekal dan pembeli bagi pasaran tempatan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, polis sedang menyiasat dan mengesan dari mana pasangan suami isteri terbabit memperoleh bekalan barangan terlarang itu dan ujian saringan air kencing dijalankan ke atas kedua-dua suspek adalah negatif.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek wanita mempunyai rekod berkaitan Akta Kanak-kanak 2001 manakala suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah,” katanya.

Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI