fbpx

Saya ini seorang yang ‘forgive and forget’ – Adi Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADI PUTRA

MINGGU lalu, kecoh perihal isu komunikasi antara Datuk Adi Putra dan pihak Studio Kembara berhubung tayangan malam gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Indonesia.

Bermacam-macam telahan dibuat untuk mencari punca berlakunya perkara tersebut sama ada daripada pihak penerbit atau pelakon itu sendiri.

Semuanya bermula dengan hantaran berbaur sinikal yang dimuat naik Adi sekali gus melihatkan keteguhan peribadinya untuk tidak akan sama sekali menyertai acara tersebut yang berlangsung di Jakarta.

Tetapi, entah apa yang melembutkan hati aktor kelahiran Singapura itu, dalam diam-diam dia akhirnya tiba di negara republik tersebut bersama rakan baiknya yang juga pelakon Johan As’ari.

Menerusi hantaran dalam Instagramnya, Adi dilihat tersenyum bersama Johan ketika hadir pada majlis tayangan gala filem lakonan mereka.

Bertemu dua mata bersamanya di ibu kota baru-baru ini, Adi memberitahu, dia dengan rela hati pergi ke sana bagi memenuhi undangan salah seorang pelakon Mat Kilau kelahiran negara itu, Yayan Ruhian dan pihak CBI selaku syarikat pengedar.

SALAH faham yang berlaku antara penerbit Studio Kembara sebelum ini sudah selesai dan Adi enggan memanjangkan isu tersebut. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

“Ya, saya pergi memang gunakan duit sendiri. Malah, segala kos perbelanjaan ditanggung sendiri sepanjang beberapa hari di sana bersama rakan pelakon, Johan As’ari.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan semoga Mat Kilau diterima baik serta maju jaya di sana. Saya ini profesional dan tenang saja orangnya. Orang berbudi kita berbahasa,” katanya.

Sempat diaju mengenai penyelesaian yang cuba diambilnya untuk menyelesaikan isu dan salah faham yang berlaku ketika di sana, Adi berkata, dia dia sentiasa bersifat profesional serta terbuka.

“Kalau yang mengenali, saya ini seorang yang forgive and forget (memaafkan dan melupakan). Itulah prinsip yang saya pegang selama menjadi manusia dan bergelar anak seni.

“Kita ini hidup ke depan dan jangan sesekali undur ke belakang. Bila hidup ke depan, kita jadi malas nak imbas semula apa yang berlaku lagi-lagi benda negatif dan tak penting,” katanya.

JELAS Adi, komunikasi dua hala amat penting dalam kehidupan agar tidak berlakunya sebarang salah faham atau timbul isu pada masa mendatang.

Tambah Adi atau nama lengkapnya Mohamed Hadi Putra Halim, 41, dia tiada masalah untuk kekal bekerjasama dengan Studio Kembara andai naskhah yang ditawarkan kelak berkualiti dan sesuai dengannya.

“Untuk bekerjasama, saya wajar pertimbangkan. Mereka pun tahu saya bagaimana dan jenis yang sangat selektif bagi sesebuah naskhah,” katanya.

Tambah Adi, apa pun yang dilakukan dalam dunia ini, komunikasi dua hala yang jelas amat perlu agar tidak menyebabkan berlakunya sebarang masalah pada kemudian hari.

“Apa yang saya boleh katakan, komunikasi ini penting dan perkara tersebut perlu ada dalam kehidupan seharian selain menjadi prinsip dalam hidup kita.

“Kalau ditanya tentang apa yang saya rasa tempoh hari di Jakarta, jujur tiada apa yang tersirat. Saya tiada masalah tetapi tidak tahulah yang di sebelah sana macam mana,” ujarnya sekali gus menyifatkan isu yang berlaku sudah selesai sebaik saja mereka bertemu seperti biasa di sana.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI