PETALING JAYA – Nama pelawak yang juga pelakon, Fikry Ibrahim panas dalam laman sosial terutama Twitter gara-gara dikatakan tersilap mengumumkan nama pemenang pada pentas final Dewi Remaja 2022, semalam.
Dalam kejadian yang bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil tersebut, Fikry sebagai pengacara mengumumkan tempat ketiga yang dimenangi oleh peserta bernama Kimberly.
Bagaimanapun, ketika mengumumkan nama peserta itu, dia hanya menyebut Kim sekali gus mengundang salah faham penonton.
Rata-ratanya mendengar Fikry mengumumkan nama salah seorang peserta lain iaitu Bee.
Malah Bee juga dilihat melangkah beberapa tapak ke depan kerana memikirkan namanya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Bagaimanapun, Fikry kemudian mengulang nama Kim berkali-kali untuk menegaskan bahawa tempat ketiga dimenangi oleh Kimberly, bukannya Bee.
Situasi tersebut pantas menuai kecaman dalam media sosial apabila ramai netizen mempertikaikan kredibiliti Fikry selaku hos yang tidak menyebut nama penuh Kimberly.
Fikry yang ditemui usai program berkenaan melabuhkan tirai bagaimanapun menjelaskan, dia hanya membaca nama yang tertera pada kad yang diberikan oleh produksi.
Pelawak itu juga berkata, dia tidak membuat apa-apa kesalahan sebaliknya sudah memberikan yang terbaik sepanjang mengacarakan program tersebut.
“Saya tak salah sebut. Saya rasa tak buat salah apa-apa. Mungkin saya silap sebab tak sebut nama penuh, itu sahaja.
“Mungkin juga penonton yang menonton secara siaran langsung dan di rumah dengar berbeza. Nak menyalahkan itu senang. Atas kertas yang saya pegang memang tulis nama Kim. Iyalah, mungkin sebagai hos, saya kena sebut nama penuhnya,” katanya.
Tambah Fikry, 28, dia menganggap kejadian yang berlaku semalam menjadi ruang untuknya memperbaiki kelemahan diri.
Selain isu ‘tersalah’ sebut nama pemenang, malam final Dewi Remaja 2022 turut dicemari dengan kritikan netizen yang tidak berpuas hati apabila Fikry tidak memberi ruang buat juara, Tracie memberi ucapan usai dinobatkan selaku pemenang.
Bagaimanapun menurut Fikry, dia hanya menurut arahan yang diberikan oleh produksi.
“Untuk kritikan yang kata saya tidak beri ruang untuk juara beri ucapan, semua itu di luar kuasa saya.
“Memang sepatutnya ada slot tetapi kerana kekurangan masa, saya cuma ikut arahan yang diberikan. Komen-komen yang dilemparkan netizen saya abaikan sahaja sebab mereka tak bayar gaji saya,” kata Fikry.
Semalam, pentas final Dewi Remaja 2022 menyaksikan peserta dari Sabah, Tracie Sinidol dinobat selaku juara program berkenaan dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan trofi. – KOSMO! ONLINE