fbpx

Reda, mereka sudah jadi anak syurga – Ibu mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fikri (duduk dua kiri) tenang melihat jenazah kedua-dua anaknya yang dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, di Taman Istimewa, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Ibu kepada dua beradik yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini semalam, reda dengan pemergian cahaya mata dijemput Ilahi.

Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, berkata, mereka sekeluarga menerima ketentuan takdir itu dengan berlapang dada selain dapat menjadi iktibar.

“Saya reda, kedua-dua kanak-kanak itu sudah menjadi anak syurga, saya tidak perlu risau apa-apa lagi.

“Cuma mula-mula itu saya terasa sangat sedih kerana selepas kebakaran tersebut berjaya dipadamkan, saya orang pertama lihat dia (Muhammad Zafran) memeluk adiknya,” katanya ringkas ditemui di sini, hari ini.

Nurul Ain Najihah berkongsi kisah pilu itu selepas kedua-dua anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, di Taman Istimewa, di sini pukul 5.30 petang, hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, pula memberitahu, biarpun masih bersedih dengan kejadian, dia dan isterinya tetap bersyukur jenazah anak mereka telah selamat dikebumi.

“Sudah tentu masih bersedih, tetapi saya tetap berasa lega kerana jenazah mereka sudah selamat dikebumikan. Saya juga tidak tahu hendak kata apa-apa lagi,” jelasnya.

Majlis pengkebumian tersebut dihadiri seramai lebih 50 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka yang bergegas dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak selepas mengetahui tragedi menimpa keluarga itu.

Kosmo! semalam melaporkan dalam kejadian pukul 1.41 tengah hari itu, mayat Muhammad Zafran, 3 dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, ditemui rentung berpelukan di belakang pintu sebuah bilik dalam kebakaran di kediaman sewa keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI