PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedia membantu dan mengeluarkan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara selepas segala tindakan undang-undang terhadap mereka terlibat selesai.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, buat masa ini, pihaknya tidak boleh membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara sekiranya mereka berdepan tindakan undang-undang di negara berkenaan.
“Pertama, mereka perlu berhadapan dahulu dengan peraturan dan undang-undang di negara berkenaan jika mereka melanggar peraturan imigresen atau undang-undang jenayah.
“Jika semua sudah selesai menjalani hukuman, kami sedia membantu mereka pulang jika mereka tidak mempunyai pasport dimana sijil perjalanan kecemasan boleh dikeluarkan untuk bawa mereka pulang.
“Kita tidak ada masalah (bawa pulang) dan JIM akan sentiasa bantu rakyat kita yang hadapi masalah di luar negara untuk pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program Larian Imigresen 2022 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaan JIM untuk membantu mengeluarkan sembilan rakyat tempatan yang dipercayai terkandas di Laos akibat ditipu sindiket tipuan kerja.
Media sebelum ini melaporkan sembilan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 27 tahun kini dikurung dan disiksa oleh sindiket selain ahli keluarga turut diminta membayar wang tebusan untuk melepaskan mereka.
Ditanya mengenai perkembangan jawatankuasa siasatan membabitkan isu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Khairul berkata, beliau mengesahkan pegawai yang terbabit dalam insiden itu sudah selesai diambil keterangan.
“Pegawai saya sudah memberi keterangan kepada jawatankuasa itu termasuk maklumat tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan itu,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ini mengumumkan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi mengetuai jawatankuasa menyiasat insiden membabitkan KPPA dan pegawai kanan imigresen di KLIA pada 3 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE