GEORGE TOWN – Persetujuan kerajaan untuk memberi terus tablet kepada semua penerima Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia semalam disambut baik pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Keilmuan Nasional di sini hari ini.
Koordinatornya, Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemberian terus kepada 350,000 mahasiswa B40 tanpa perlu memulangkan semula peranti itu sejurus tamat pengajian nanti.
Menurutnya yang juga merangkap sebagai Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kebangsaan, tindakan prihatin itu membuktikan kerajaan tidak sekali meminggirkan golongan mahasiswa B40 yang berdepan tekanan akibat kos sara hidup terutama ketika menghadapi fasa endemik Covid-19.
“Keilmuan Nasional juga berharap agar pihak kerajaan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti sektor pendidikan dan pembangunan bumiputera secara khusus terutama dalam penyediaan modal insan yang mampan selaras dengan era digital.
“Tambahan pula bantuan ini merupakan waktu yang dinantikan oleh mahasiswa berikutan kekurangan kemampuan untuk memiliki peranti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beritahunya lagi, pihaknya juga menharapkan agar mahasiswa lebih bersemangat setelah menerima peranti siswa sekali gus dapat memanfaatkannya sebaik mungkin sepanjang proses pembelajaran berlangsung.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memberi terus tablet kepada semua penerima sebagai penghargaan selain menjadi pemangkin untuk mahasiswa belajar dengan lebih cemerlang. – KOSMO! ONLINE