fbpx

Muktamar: Pas sasar bertanding 80 kerusi Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Pas meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan memenangi separuh daripadanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, maka tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan Persekutuan tanpa Pas.

Menurutnya, 40 kerusi yang disasarkan itu merupakan batu lonjakan yang ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050.

“Dalam pada kita ada 17 kerusi Parlimen ini pun, banyak perjuangan atau dasar ditentukan menteri Pas telah dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat, bayangkanlah kalau kita ada 40 kerusi.

“40 kerusi ini adalah batu lonjakan ditetapkan dalam perjalanan Pas yang panjang bermula 2020 hingga 2050. Siapa dapat hidup lagi pada 2050, pada masa itu mereka akan dapat menyaksikan Perdana Menteri daripada Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, ketika ini Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pas sedang menganalisis kawasan-kawasan pilihan raya yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), bagi diletakkan dalam senarai 80 kawasan yang disasarkan untuk ditandingi.

“Mana-mana kawasan yang tak mencapai KPI akan digugurkan dan digantikan dengan kawasan lain yang didapati memiliki prestasi baik daripada segi persiapan jentera mahu pun keperluan lain untuk menghadapi PRU,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan logo dalam PRU akan datang, Muhammad Sanusi menyatakan perkara itu masih sedang ‘dimasak’ dan belum boleh ‘dihidang’.

“Tunggu dia ‘masak’ dulu, baru boleh hidang tetapi nak jadi macam mana tak tahulah. Kita mengharapkan parti dapat buat keputusan terbaik yang menguntungkan Pas.

“Saya pun nak macam itu juga (guna logo Pas) tetapi perkara ini kena berunding dan bincang. Rakan kena setuju sebab kalau kita ‘gagahkan’ juga (guna logo Pas) dalam keadaan rakan tak setuju, akan berlaku perpecahan menyebabkan kerugian ditanggung lebih besar dan disebabkan itu, kita kena berlapang dada selepas keputusan dibuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI