MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag percaya Arsenal berada pada prestasi terbaik menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford malam ini.
Arsenal merupakan antara pasukan yang masih belum tewas musim ini apabila mencatat kemenangan bersih dalam lima perlawanan terdahulu, sekali gus menerajui takhta liga dengan 15 mata.
Justeru, The Red Devils kini menggalas misi untuk memadam rekod The Gunners, lebih-lebih lagi United juga sudah menemui sentuhan sebenar apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir.
“Saya mengikuti perkembangan Arsenal sepanjang saingan musim ini dan mereka merupakan lawan yang sangat sukar. Mereka bermula baik dan memiliki falsafah bola sepak yang cukup bagus.
“Pemain-pemain Arsenal kebanyakan sudah lama bermain bersama, jadi corak permainan sangat serasi. Ini adalah ujian terbaik untuk kami cuba ‘merosakkan’ rekod baik mereka,” kata Ten Hag.
Bekas pengendali Ajax itu juga sedia untuk menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan tersebut bagi memastikan United dapat mengekalkan momentum semasa selepas tewas dalam dua perlawanan awal musim.
“Anda semua boleh nampak kami memiliki satu skuad yang sangat baik. Pemain-pemain gantian yang beraksi menentang Leicester City sebelum ini juga menampilkan aksi positif, jadi kami kekalkan prestasi itu,” ujarnya.
United perlu kembali beraksi pada tahap terbaik mereka selain menurunkan pemain sayap baharu dari Ajax, Antony jika mahu menewaskan Arsenal sekali gus merekodkan kemenangan keempat berturut-turut.
Kali terakhir menentang Arsenal menyaksikan United tewas 1-3 menerusi jaringan Nuno Tavares, Bukayo Saka dan Granit Xhaka, manakala gol tunggal mereka dihasilkan oleh Cristiano Ronaldo selain Bruno Fernandes gagal menyudahkan sepakan penalti. – AGENSI