YA, kejayaan datang dengan design yang kita sendiri boleh ‘lukis dan lakarkan’.
Tanpa design, umpama kita melakukan sesuatu tanpa ada hala tuju yang jelas.
Seperti kata Buya Hamka, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Pilihan masing-masing, anda mahu kerja sekadar kerja ataupun ada sasaran untuk capai sesuatu kejayaan dalam bisnes dan kehidupan ini.
Untuk menjelaskan mengenai design kejayaan, saya kongsi kisah usahawan jutawan di bawah bimbingan kami ini.
Kenal jenama Sabella? Terkenal dengan tagline mereka, baju tanpa gosok.
Perjalanan bisnes mereka bermula dari rumah sahaja, kini sudah ada kilang hinggakan jualan tahunan syarikat mencapai RM100 juta sejak dua tahun lalu.
Ia berlaku bukannya secara tak sengaja, tapi di design mengikut pelan yang dirancang.
Alhamdulillah, Pengasas dan Pengasas Bersama Sabella Holdings Sdn. Bhd., Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman melakukan tindakan konsisten mengikut pelan yang dilukis dari semasa ke semasa.
Bahkan pada 26 Ogos lalu, Sabella telah diiktiraf Media Specialist Association (MSA) dengan merangkul empat anugerah kategori utama.
Tiga kategori Gold Awards iaitu Best Use of e-Commerce – Campaign from Heart Strings to Purse Strings, Best Use of Media Performance – Campaign from Zero To Hero dan Best Use of Branded Content – Campaign Stealing the Spotlight.
Malah, Sabella turut memenangi Main Prize Total Grand Prix untuk kempen From Heart Strings to Purse Strings.
Saya sangat bangga apabila melihat branding design yang mana saya terlibat secara langsung dari awal hingga akhir diiktiraf, malah mengalahkan jenama-jenama besar yang lain.
Antaranya jenama korporat dan gergasi seperti Unilever, Pepsi, Samsung, L’Oreal, Shiseido, McDonalds dan banyak lagi.
Tahniah Sabella, mereka mencipta sejarah menjadi syarikat perusahaan kecil dan sederhana berstatus Bumiputera pertama yang merangkul empat anugerah MSA.
Selain itu, tahniah juga buat PTTI Group Sdn. Bhd. (PTTI) bimbingan kami meskipun tak sebesar kempen Sabella, mereka memenangi Silver Awards bagi kategori Marketing with Technology.
PTTI yang diuruskan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Farhana Abu Osman bersama Ketua Pegawai Operasi, Muhd. Habibunajjar Sazali menyediakan platform pendidikan online dengan formula dan teknik terbukti bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seperti saya kata, ia tak berlaku tak sengaja!