fbpx

Ikmal Amry mohon maaf, akui jadi punca kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta milik Ikmal Amry yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan ketika perjalanannya menuju ke Melaka bersama isteri dan anak.

PETALING JAYA – Pelakon Ikmal Amry memohon maaf dan mengakui dirinya merupakan punca berlakunya kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan yang turut melibatkan dua buah kenderaan lain, semalam.

Nama lengkap Mohd. Zulikmal Amry Ghazali itu memberitahu, dia memandu dalam keadaan kurang rehat ekoran baru selesai menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi.

Dia kemudian bergegas pulang ke kampung di Melaka untuk menziarahi keluarganya pada sebelah petang.

“Hari sebelum kejadian saya menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi dan sudah berjanji untuk pulang menziarahi keluarga.

“Saya hanya sempat berehat selama tiga jam. Dalam keadaan kurang rehat, saya gagahkan diri memandu. Saya akui itu satu kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang sihat dan rehat,” tulisnya dalam Instagram.

Terdahulu, kereta yang dipandu Ikmal hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan hingga menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbalik.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa iaitu pemilik Perodua Myvi biru bernama Norliana Abdul Hamid turut mendedahkan keluarganya antara yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Liana menerusi laman sosial mendakwa Ikmal memandu dengan laju dan enggan bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.

Dalam hantaran sama, Ikmal turut menjelaskan kemalangan yang berlaku bukanlah kehendak dirinya namun bersyukur kerana semua yang terlibat terselamat.

“Syukur kepada Allah. Dia lindungi kami, orang yang kami langgar, kereta Myvi biru dan Honda sekeluarga. Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua yang terlibat. Bukan kehendak diri ini. Saya bukan juga nak cakap saya tidak bersalah.

“Tetapi tidak perlu keruhkan keadaan. Duit boleh dicari, nyawa tiada ganti. Jika betul saya bersalah, pihak berwajib sahaja berhak untuk selesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI