SETIU – Insiden 32 pengunjung terperangkap serta lapan kenderaan dihanyutkan arus deras di Lata Ulu Kasar di sini pada kelmarin boleh dielakkan sekiranya mereka peka dengan fenomena kepala air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, tambah dikesalkan apabila kebanyakan mereka dikatakan tidak menghiraukan amaran awal yang diberikan oleh penduduk setempat.
“Saya dimaklumkan sebahagian besar pengunjung pada waktu kejadian terus mandi walaupun telah dinasihatkan penduduk setempat tentang kemungkinan kejadian kepala air.
“Sebahagian mereka juga meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan laluan air bukan di tempat meletak kenderaan disediakan,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian di Lata Ulu Kasar di sini hari ini.
Kawasan perkelahan terkenal itu tetap dikunjungi orang ramai termasuk dari luar Terengganu seperti biasa walaupun baru dua hari insiden kepala air berlaku.
Sehubungan itu, Md. Hilman berharap kejadian kepala air pada kelmarin menjadi iktibar untuk masyarakat lebih peka apabila beriadah di lokasi berisiko berlakunya kepala air.
Jelas beliau, kemungkinan berlakunya kepala air boleh dikesan menerusi bunyi deruan air, pertukaran warna air sungai, air berbuih, kehadiran sampah sarap dan kenaikan mendadak paras air.
“Tahap kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan terutama musim peralihan monsun ketika ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 32 pengunjung yang sedang berkelah di Lata Ulu Kasar di sini cemas apabila mereka terperangkap selama lebih tiga jam dalam kejadian kepala air di kawasan perkelahan tersebut. – KOSMO! ONLINE