SHAH ALAM – Trend penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya warga Myanmar ke Lembah Klang dipercayai dikendalikan seorang ketua sindiket yang beroperasi di lokasi Lembah Klang.
Sumber berkata, ia susulan risikan pihaknya terhadap ejen-ejen yang ditangkap sebelum ini dengan ketua sindiket itu berusia 50-an.
Katanya, PATI Myanmar kebiasaannya dibawa dari negeri-negeri di sebelah utara Semenanjung sebelum ‘dieksport’ bukan sahaja di Lembah Klang, malah turut dipasarkan ke negeri Pantai Timur seperti Kelantan.
“Kebanyakan mereka ini akan diletakkan di sektor perikanan selain kilang.
“PATI Myanmar ini juga kosnya murah dan mempunyai daya tahan lebih tinggi berbanding Indonesia,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas sumber, kemasukan PATI ini adalah mengikut lokasi dengan negeri di Pantai Barat Semenanjung lebih kepada Indonesia, manakala bahagian Pantai Timur pula melibatkan Vietnam dan Thailand.
Berita berkaitan: ‘Dah macam tin sardin’
Tambah sumber, siasatan turut mendapati, ketua sindiket bukan daripada warga tempatan sebaliknya mereka yang telah lama menetap di negara ini.
Sumber bagaimanapun enggan mendedahkan secara spesifik warganegara bagi ketua sindiket itu.
“Dia (kepala sindiket) susah dikesan sebab dia banyak kaki atau ejen selain menggunakan kad sim pakai buang untuk putuskan rantaian elak dikesan pihak berkuasa.
“Ketua sindiket ini juga bukan sahaja bertindak untuk kemasukan PATI, malah untuk keluar sekali (dari Malaysia). Orang tempatan pula digunakan sebagai transporter seperti pemandu e-hailing,” ujarnya.
Mengulas lanjut, sumber sama turut memaklumkan yang menjadi kebimbangannya mengenai PATI Myanmar itu adalah disebabkan mereka boleh menyamar sebagai pelarian dengan menggunakan kad Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Itu taktik mereka banyak kali dikesan dan disebabkan itu mereka banyak ‘kekal’ di negara ini berbanding Indonesia yang banyak dihantar pulang negara asal,” jelasnya.