MOSCOW – Bank-bank Russia mengumumkan kerugian mencecah AS$25 bilion (RM111 bilion) sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat sekatan blok Barat berhubung perang di Ukraine, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kerugian besar itu menyebabkan laporan kewangan bertukar merah buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.
Timbalan Pengerusi Pertama Bank Pusat Rusia,Dmitry Tulin mendedahkan perkara itu kelmarin dalam pembentangan kali pertama oleh Moscow sejak Februari tahun ini.
Selepas tentera Presiden Vladimir Putin menyerang Ukraine, Kremlin telah mengkategorikan laporan kewangan sebagai rahsia negara. Ia bagi mengelak pendedahan mengenai skala sebenar kerosakan ekonomi disebabkan oleh sekatan Barat.
Tulin berkata bank-bank negara itu rugi secara keseluruhan sebanyak AS$24.86 bilion (RM111 bilion) dalam enam bulan pertama 2022 ketika pencerobohan Moscow ke atas Ukraine berterusan.
“Kira-kira dua pertiga daripada kerugian yang dilihat oleh bank-bank Russia adalah berkaitan operasi mata wang asing.
“Terdapat kebarangkalian lebih daripada 50 peratus untuk kerugian bagi tahun itu akan melebihi angka AS$25 bilion yang berlaku pada enam bulan pertama,” kata Tulin.
Tambah beliau, kerugian perbankan tertumpu dalam kalangan bank-bank terbesar di Rusia.
Sementara itu, ketidaktentuan ekonomi yang melanda Russia telah reda sejak matawang ruble mencatat paras terendah 121.53 ruble berbanding AS$1 dolar dalam perdagangan Moscow di pada Mac lalu.
Mata wang Russia itu kemudian meningkat pada kedudukan paling kukuh dalam tempoh tujuh tahun mencecah 50.01 ruble bagi setiap dolar AS pada Jun 2022.
Sekatan Barat ke atas Russia pada mulanya menyebabkan ekonomi Moscow jatuh menjunam lewat bulan lalu dengan Rusia gagal membayar hutang asingnya buat kali pertama dalam tempoh lebih 100 tahun sebelum beransur pulih.
Pemimpin EU bersetuju pada Mei tahun ini untuk menyekat kebanyakan import minyak Rusia menjelang akhir tahun ini, manakala lebih 1,000 syarikat Barat menarik diri dari pelaburan di Moscow.
Kremlin bertindak balas terhadap sekatan dengan menaikkan harga dan menuntut negara ‘tidak mesra’ membayar gas Russia menggunakan ruble sebagai usaha untuk meningkatkan nilai mata wangnya.
Berita tentang kerugian perbankan Russia itu diumumkan ketika Kremlin menyatakan akan berhenti menjual minyak kepada negara yang mengenakan harga siling ke atas sumber tenaga Russia. – Agensi