fbpx

AS jual senjata hampir RM5 billion kepada Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA kebal buatan tentera Taiwan M60-A3 menyertai latihan menembak di Kepulauan Penghu pada 24 Ogos lalu. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej bantuan senjata baharu bernilai AS$1.1 bilion (RM4.9 bilion) kepada Taiwan kelmarin dan berikrar untuk terus mengukuhkan sistem pertahanan Taipei ketika ketegangan dengan Beijing meningkat.

Penjualan senjata itu dibuat sebulan selepas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi berdegil dan melawat pulau pemerintahan sendiri tersebut. Kunjungan Pelosi mendorong China melan­carkan latihan tentera besar-besaran yang juga latihan untuk pencerobohan di masa hadapan.

Ia merupakan pakej terbesar untuk Taiwan yang diluluskan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden. Pakej itu termasuk AS$665 juta (RM2.9 bilion ) untuk sokongan kontraktor bagi menyelenggara dan menaik taraf sistem amaran radar awal Raytheon yang beroperasi sejak 2013. 

Sistem radar itu mampu memberi amaran kepada Taiwan tentang serangan yang mendatang.

Taiwan juga akan membelanjakan kira-kira AS$355 juta (RM1.4 bilion) untuk membeli 60 buah peluru berpandu Harpoon Block II yang boleh mengesan dan menenggelamkan kapal perang sekiranya China melancarkan serangan melalui laut.

Pakej persenjataan itu juga termasuk AS$85.6 juta (RM382.9 juta) untuk membeli lebih 100 peluru berpandu Sidewinder yang merupakan senjata utama blok Barat untuk kuasa tembakan udara-ke-udara.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas tentera Taiwan menembak jatuh sebuah dron komersial tidak dikenali ketika pulau itu mengalami beberapa pencerobohan misteri yang mengejutkan Taipei.

Seorang jurucakap Jabatan Negara AS, berkata pakej persenjataan itu ‘penting untuk keselamatan Taiwan.’

“Kami menggesa Beijing menghentikan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi terhadap Taiwan dan sebaliknya terlibat dalam dialog bermakna dengan Taipei,” kata jurucakap itu.

“Penjualan senjata ini adalah perkara rutin untuk menyokong usaha berterusan Taiwan memodenkan angkatan tenteranya dan mengekalkan keupayaan pertahanan yang boleh dipercayai,” tambahnya.

“AS akan terus menyokong penyelesaian aman bagi isu merentasi Selat Taiwan, seiring  dengan hasrat dan kepentingan terbaik rakyat Taiwan,” katanya.

Penjualan senjata itu memerlukan kelulusan Kongres yang hampir terjamin kerana Taiwan menikmati sokongan padu sama ada daripada parti pemerintah atau pembangkang AS. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI