PETALING JAYA – Pasangan selebriti Mona Allen dan suami, Pekin Ibrahim sepakat menamakan anak sulung mereka yang lahir pada 31 Ogos lalu sebagai Petra Pekin.
Perkara tersebut dikongsikan Mona Allen menerusi hantaran terbaharu dalam Instagramnya.
“Welcome home (selamat pulang) anakku, Petra Pekin Mohd. Iznan. Daddy & Mummy love you (ayah dan ibu cintakan kamu),” tulisnya.
Pada hantaran sama, Mona turut berkongsi momen sepanjang proses bersalin selain menyifatkan rezeki dikurniakan zuriat sebagai anugerah paling terindah dalam hidupnya.
“Anugerah terindah. Terima kasih doktor dan kakitangan hospital yang bertugas, perkhidmatan anda terbaik.
“Paling tidak disangka bila bayi kami dilahirkan pada Hari Kebangsaan. Rasa macam tidak percaya pula dia baby (bayi) merdeka,” katanya.
Terdahulu, penantian empat tahun Mona dan suami untuk bergelar ibu dan bapa akhirnya menjadi kenyataan selepas selamat menyambut kelahiran anak sulung lelaki pada pukul 2.39 pagi, 31 Ogos lalu.
Mona mendirikan rumah tangga dengan Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim pada 7 Disember 2018. – KOSMO! ONLINE