PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan berkait isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan beberapa individu dari Kuwait kini sedang giat dilakukan.
SPRM berkata, sejak dua tahun lalu, beberapa siri perbincangan sudah dilakukan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.
“SPRM kini masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
“Perkara tersebut masih lagi dalam kajian pihak Kuwait,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Katanya, setiap tindakan yang diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara adalah melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit.
“SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syanikat lain yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM berkata, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai, lalu, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara.
“Justeru, semua pihak dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE