fbpx

Warga emas maut dirempuh kereta dipandu suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saadiah maut akibat dirempuh kereta dipandu suaminya dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda pada petang tadi.

SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas sempat bersalaman dan bermaafan dengan jirannya sebelum dia maut akibat dirempuh kereta dipandu suaminya dalam kejadian di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda, dekat sini pada petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa Saadiah Saad, 69, dari Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Sementara suaminya berusia 76 tahun tidak cedera.

Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Che Puteh Ismail, 69, berkata, ketik kejadian mangsa dan suaminya itu baru pulang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah berdekatan dengan kereta mereka diletakkan di hadapan rumahnya.

Menurut Che Puteh, sebelum kejadian dia sempat menegur dan berbual dengan mangsa sementara suami mangsa pula terus masuk ke dalam kereta untuk menghidupkan enjin.

“Kami saling bertanya khabar memandangkan sudah lama tidak berjumpa meskipun jarak rumah saya dengan rumah mangsa hanya kira-kira dua kilometer sahaja.

“Mangsa kemudian meminta diri untuk pulang dan kami saling bersalaman dan dia sempat memohon maaf kepada saya sekiranya terdapat salah silap antara kami,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman dan deruman enjin yang kuat lantas bergegas keluar untuk melihat.

“Ketika keluar saya nampak mangsa tertiarap di bawah kereta manakala suami mangsa dilihat seperti dalam keadaan terkejut sebelum anak lelaki saya yang kebetulan berada di dalam rumah keluar dan mematikan enjin kereta tersebut.

“Anak lelaki saya, Zaini Hashim, 41, terus memanggil orang ramai yang berada di rumah kenduri untuk membantu mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Zaidy berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.47 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri warga emas terbabit hendak pulang dari majlis kenduri kahwin di kampung tersebut.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu yang juga suami mangsa menghidupkan enjin kereta yang dalam keadaan bergear menyebabkan kereta tersebut menggelongsor ke hadapan lalu terlanggar mangsa yang kebetulan berdiri di hadapan kereta,” jelasnya.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI