GOMBAK – Polis menahan seorang wanita tempatan yang juga majikan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendera pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Batu Caves, di sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan yang dibuat mangsa, seorang wanita Indonesia berumur 46 tahun pada pukul 5 petang pada 31 Ogos lalu.
“Wanita itu mendakwa telah didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri di sebuah rumah di kawasan Batu Caves, dekat sini.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan suami isteri tersebut bermula Oktober 2019 dan mendakwa sering dipukul oleh majikan sejak bekerja di rumah pasangan itu.
“Bagaimanapun, mangsa dapat melarikan diri dari rumah majikannya dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut oleh Pegawai Perubatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah memberkas seorang wanita tempatan yang juga majikan mangsa berumur 35 tahun pada 1 September lalu bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, suspek telah direman di Mahkamah Majistret Selayang pada hari yang sama dan permohonan tahanan reman telah dibenarkan selama lima hari sehingga 5 September ini.
Katanya, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – KOSMO! ONLINE