fbpx

VAR selamatkan maruah Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUNEZ (kanan) mensia-siakan banyak peluang terhidang ketika seri tanpa jaringan menentang Everton di Goodison Park sebentar tadi. - AFP

LIVERPOOL – Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) memastikan Liverpool mengelak daripada tewas kepada seteru setempat, Everton dalam aksi derbi Merseyside di Goodison Park sebentar tadi.

Ia selepas VAR membatalkan jaringan pemain pertahanan Everton, Conor Coady di separuh masa kedua yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Tuah juga seakan-akan tidak menyebelahi Liverpool apabila banyak percubaan terutama daripada Mohamed Salah sekadar singgah di tiang dan palang gol pasukan tuan rumah.

Ketangkasan penjaga gol Everton, Jordan Pickford juga antara faktor utama The Reds sekadar membawa pulang satu mata walaupun memegang 61 peratus penguasaan selain melakukan keseluruhan 23 percubaan dalam aksi itu.

Pengurus Everton, Frank Lampard pastinya individu paling kecewa menyaksikan VAR membatalkan gol Coady pada minit ke-70 selepas mengesan bekas kapten Wolverhampton Wanderers itu berada dalam kedudukan ofsaid.

COADY meraikan jaringannya sebelum VAR membatalkan selepas mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid. – AFP

Situasi berbeza pula pastinya dirasai pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas sekali lagi menyaksikan penyudah tumpul daripada jentera serangan walaupun kembali diperkuatkan dengan kehadiran Darwin Nunez.

Nunez kembali diturunkan selepas tamat penggantungan tiga perlawanan susulan kad merah yang diterima ketika menentang Crystal Palace pada 15 Ogos lalu.

Kehadiran bintang Uruguay itu yang baru meledak satu gol EPL sejak berhijrah daripada Benfica, masih gagal meninggalkan impak positif apabila mensia-siakan banyak peluang sehingga digantikan oleh Roberto Firmino.

Keputusan seri itu menyaksikan The Reds gagal merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Bournemouth 9-0 dan Newcastle United 2-1 dalam dua aksi terdahulu.

Selepas ini, Liverpool akan menghadapi aksi Kumpulan A kempen Liga Juara-Juara menentang Napoli di Stadio Diego Armando Maradona pada Khamis ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN