WASHINGTON – Kajian mendapati ratu semut hidup sehingga 30 tahun lebih lama berbanding semut pekerja dengan melakukan lebih banyak aktiviti mengawan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Menurut satu penyelidikan terbaharu, aktiviti mengawan dengan kerap membantu ratu semut menghasilkan insulin yang mengawal tahap glukosa sekali gus meningkatkan jangka hayat dan pembiakan.
Penemuan itu juga boleh membantu meningkatkan usia yang panjang pada haiwan-haiwan lain termasuk manusia, kata saintis.
“Semoga penemuan ini membolehkan kita memahami dengan lebih baik proses penuaan dalam banyak haiwan,” kata penulis utama kajian, Dr. Hua Yan dari Universiti Florida di Amerika Syarikat (AS).
Yan juga merupakan pakar mengenai cara semut berkomunikasi menggunakan feromon (bahan kimia dirembeskan haiwan) untuk mengatur kawanan.
Hukum alam menyatakan bahawa kematian lebih cepat berlaku sekiranya haiwan itu memiliki lebih banyak anak.
Akan tetapi, ratu semut merupakan satu-satunya haiwan dalam kawanan yang membiak dan hidup sehingga 30 kali lebih lama daripada semut pekerja.
Ratu semut meningkatkan pengeluaran insulin secara besar-besaran untuk menggalakkan perkembangan telur. Ovarinya menghasilkan penghalang insulin yang melambatkan proses penuaan.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science itu memfokuskan spesies yang dipanggil Harpegnathos saltator yang juga dikenali sebagai semut melompat India. – Agensi