BUKIT JALIL – Selepas lapan episod bersiaran, program popular Dewi Remaja edisi 2022 melabuhkan tirai dengan menyaksikan peserta dari Sabah, Tracie dinobatkan sebagai juara.
Tracie menggondol gelaran tersebut dengan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan trofi di pentas final Dewi Remaja 2022 yang bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, di sini sebentar tadi.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh pemenang Dewi Remaja edisi 2019, Shaza Bae yang memakaikan Tracie mahkota kemenangan dan selempang juara.
Kemenangan Tracie, 21, mengenepikan tiga lagi Dewi yang menjadi empat peserta terakhir iaitu Alyssa, Kimberly dan Bee.
Bee mendapat tempat kedua dengan membawa hadiah wang tunai bernilai RM7,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga dimenangi Kimberly dengan habuan berjumlah RM5,000 dan trofi.
Sementara, Alyssa pula berpuas hati di tempat keempat dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.
Selain itu, Alyssa turut dinobatkan sebagai Dewi Active Kinohimitsu, manakala Tracie pula mendapat kemenangan untuk kategori Dewi Favorite hasil undian peminat menerusi dalam talian.
Selain itu, seorang lagi Dewi iaitu Keeran pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Dewi Inspirasi.
Peserta akhir malam kemuncak Dewi Remaja 2022 diadili oleh tiga juri profesional, Datuk Aznil Nawawi, Didie Alias dan Izara Aishah.
Rancangan yang dianjurkan oleh Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro tersebut menampilkan pelakon Fikry Ibrahim selaku hos.
Pertandingan akhir turut diserikan dengan persembahan daripada barisan artis popular iaitu Noraniza Idris, Wani Kayrie, Amsyar Lee dan Isaac Voo.
Program tersebut mula bersiaran sejak 16 Julai lalu setiap Sabtu menerusi saluran Astro Ria (saluran 104). – KOSMO! ONLINE.