KOTA TINGGI – Anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam nahas di Kampung Semanggar Dalam di sini pada minggu lalu mengalami kemurungan dan sering menangis mengenangkan arwah ibu bapa serta adik-adiknya.
Kejadian pada 30 Ogos lalu itu meragut nyawa Siti Jamaliah Mohd. Yatim, 27, suaminya, Mohamad Suti Yahaya, 39, serta dua anak mereka, Nur Firman Hadi, 5, dan Nurfatihah Jannah, sembilan bulan.
Anak pasangan itu, Nursuzila Abdul Rahman, 8, tidak mengikuti ibu bapa serta adik-adiknya semasa kejadian.
Menurut neneknya, Rosni Sintingan, 53, berkata, Nursuzila yang kini bergelar yatim piatu masih bersedih dengan kejadian yang meragut nyawa empat ahli keluarganya.
“Dia terkejut apabila mendapat tahu ahli keluarganya ‘pergi’ dan sedih sewaktu melihat jenazah ibu, ayah tiri dan dua adiknya sehingga tidak sanggup untuk ke tanah perkuburan. Dia juga kerap menangis dan banyak mendiamkan diri,” katanya ketika ditemui semalam.
Rosni memberitahu, dia menjaga kanak-kanak perempuan itu sejak berusia lima bulan dan kini bersekolah di tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Pasir Raja.
“Ayah kandungnya juga meninggal dunia. Kini ibunya pula ‘pergi’ dan kejadian itu memang benar-benar membuatkan Nursuzila trauma. Kami sekeluarga akan berusaha menjaganya dengan sebaik mungkin. Kami mendoakan agar dia tabah dengan ujian Allah SWT,” kata wanita itu.
Berita berkaitan: Empat beranak maut tercampak, dilanggar treler bawa pasir
Berita berkaitan: 4 beranak maut, motosikal masuk laluan bertentangan
Dalam kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu, motosikal yang dinaiki empat beranak tersebut bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.