ALOR SETAR – Kisah kemiskinan dua pelajar cemerlang sehingga menyebabkan hasrat mereka untuk meneruskan pengajian ke menara gading tertangguh mendapat perhatian Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Rektor KUIPs, Dr. Rozaimi Ramle berkata, pihaknya sedia membantu Salmah Aminudin dan Omar Mokhtar Abdul Rahman menerusi biasiswa penuh tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Kedua-dua mereka berusia 20 tahun.
“KUIPs sudah menghubungi pelajar terbabit dan menawarkan biasiswa penuh tajaan MAIPs melibatkan tajaan penuh yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian mereka berdua.
“Ia juga meliputi tajaan asrama penginapan sehingga tamat pengajian, elaun sara diri RM300 sebulan juga hingga tamat pengajian dan mereka juga tidak dikenakan yuran pendaftaran,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya berharap tawaran tersebut mampu memberi sinar baharu kepada dua pelajar tersebut untuk terus maju ke hadapan.
“Jika tidak dibantu, kita pasti akan kehilangan dua permata yang bakal menjadi pewaris negara pada masa hadapan. Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.00 dalam keputusan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia amat membanggakan,” tambahnya.
Kosmo! kelmarin melaporkan hasrat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubur Panjang, Pendang yang cemerlang STPM 2021 untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading mungkin tidak kesampaian disebabkan kemiskinan.
Salmah yang mendapat keputusan PNGK 4.00 bimbang berikutan hasratnya untuk ke universiti mungkin tidak kesampaian kerana kos pembiayaan di unversiti sangat tinggi.
Omar Mokhtar pula gusar apabila hasratnya untuk membantu keluarganya dengan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kabur kerana masalah ketiadaan MyKad masih belum dapat diselesaikan lagi.