ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat minggu depan berkaitan penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN sebagai salah satu strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Itu kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Apa-apa pun semua perkara dalam PN ini kita bincang bersama-sama. Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira.
“Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, keputusan akan dibuat Ahli Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat yang kita akan adakan mungkin minggu depan,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas di sini hari ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam menegaskan penyokong parti itu termasuk akar umbinya alergi dengan logo PN yang mempunyai warna biru seaka-akan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, berhubung persiapan pembahagian kerusi di peringkat PN, kata Muhyiddin, gabungan itu sudah memulakan rundingan dengan semua parti dan akan diperincikan dalam masa terdekat.
“Kita sudah mula rundingan (pembahagian kerusi) tetapi belum selesai tetapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini.
Ketika ditanya tempoh rundingan itu, jelas Muhyiddin, ia dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum PRU-15 ini. – KOSMO! ONLINE