fbpx

Muktamar: Pas masih teruskan rundingan dengan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rundingan antara UMNO dan Pas ketika ini masih berjalan melibatkan pimpinan kedua-dua parti sehingga ke peringkat akar umbi.

Kenyataan itu dilihat sama sekali bertentangan dengan beberapa penegasan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sudah berkali-kali menyatakan pendirian untuk menolak kerjasama bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Abdul Hadi, bersandarkan sifat politik yang cukup dinamik, adalah tidak mustahil untuk rakyat di negara ini melihat kerjasama UMNO dan Pas pada PRU-15.

“Saya harap perkara itu (UMNO bergerak solo) adalah kenyataan Presiden UMNO, bukan ahli UMNO akar umbi dan bukan juga semua pemimpin UMNO.

“Setakat ini rundingan masih berjalan dengan semua. Pemimpin di bawah juga masih ada hubungan malah di peringkat akar umbi pun masih bercampur dan keadaannya sangat baik.

“Dalam politik tak mustahil (bersama UMNO). Politik ini dinamik dan boleh berlaku macam-macam, jadi perkara itu tak mustahil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasaranya pada Perasmian Muktamar Tahunan Pas Kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan dimuat naik Ahmad Zahid dalam laman Facebooknya semalam yang menyifatkan kerjasama disampaikan Pas merupakan satu kerjasama politik dangkal, Abdul Hadi berkata, UMNO bukanlah sebuah parti yang hanya diisi oleh seorang Presiden saja.

“UMNO ini adalah satu parti yang memiliki Majlis Tertinggi, Naib presiden serta kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian. UMNO ini bukan Presiden saja.

“Kita masih lagi berpegang kepada pendirian asal antara Pas dan UMNO di masa kita tubuhkan MN iaitu kita bersetuju bukan hanya UMNO dan Pas, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk pertubuhan bukan kerajaan turut diterima. Sehingga kini kita masih berpegang pendirian asal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI