PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya cubaan membunuh Naib Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner dalam satu kejadian yang berlaku Khamis lalu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Malaysia turut berdiri teguh menzahirkan solidariti bersama-sama kerajaan dan rakyat Argentina menolak semua bentuk keganasan.
“Kami berharap agar pengganas tersebut akan segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya melalui Wisma Putra di sini tadi.
Kejadian tidak diduga itu berlaku pada Khamis lalu kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan di mana pada ketika itu pemimpin berkenaan yang berusia 69 tahun baru pulang ke rumahnya dari pejabat.
Bagaimanapun, pistol digunakan suspek, Fernando Andres Sabag Montiel, 35, tersekat ketika dia berdepan tokoh wanita itu yang kebetulan dikelilingi ratusan penyokong tegarnya.
Susulan insiden tersebut, Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada Kirchner dan mengutuk keganasan awam. – KOSMO! ONLINE