fbpx

[KEMASKINI] 2 beradik rentung ditemui tertiarap berpelukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu mangsa dipapah suaminya selepas cedera pada kaki ketika cuba memadam api kebakaran

JOHOR BAHRU – Datuk saudara kepada dua beradik yang rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini hari ini cuba memadam kebakaran untuk menyelamatkan mangsa.

Namun usaha Ismail Saad, 55, untuk menyelamatkan cucu saudaranya itu gagal selepas asap tebal dan api marak dengan pantas.

“Ketika kejadian bapa kanak-kanak keluar bekerja, ibu dia datang berborak rumah saya, tiba-tiba saya terhidu bau hangit.

ISMAIL Saad termenung mengenangkan nasib cuc saudaranya yang rentung dalam kejadian kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru hari ini

“Saya tengok asap keluar dari rumah anak saudara saya, saya cuba terus berlari masuk rumah cari cucu-cucu saya, masuk dapur tak ada, tarik selimut tak jumpa, api dah besar kami padam dengan kudrat yang ada,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ismail yang bekerja sendiri berkata, selepas api berjaya dipadam dua beradik ditemui rentung dalam keadaan tertiarap berhampiran pintu bilik.

Jelasnya, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan cucu saudaranya itu.

“Memang terkilan sebab saya sudah cuba selamatkan dia, nak buat macam mana kan sudah takdir dia pergi dengan cara ini,”katanya.

Tambahnya lagi, sebelum kejadian dia sempat bermain dengan cucu saudaranya di halaman rumah yang terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

“Memang budak-budak rapat dengan saya, selalu datang bermain dekat rumah. Saya sewa dekat lima tahun, keluarga mangsa dalam empat bulan,”katanya.

Terdahulu, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.41 petang itu mengorbankan mangsa Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, seramai 14 anggota dikerjakan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kejadian itu.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dan mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan rumah. Terdapat dua mangsa telah ditemui rentung di ruangan bilik tidur.

“Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip. Tindakan operasi pemadaman susulan dilakukan pihak bomba sehingga keadaan pada jam 2.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI