SETIU – Lebih 50 pengunjung yang sedang berkelah di Lata Ulu Kasar di sini cemas apabila mereka terperangkap selama lebih tiga jam dalam kejadian kepala air di kawasan perkelahan tersebut hari ini.
Kejadian kepala air berikutan hujan lebat di bahagian hulu berkenaan berlaku pada pukul 5 petang.
Salah seorang pengunjung dikenali sebagai Ridzuan, 36, berkata, air sungai di Lata Ulu Kasar tersebut tiba-tiba menjadi keruh dan deras berikutan hujan lebat kira-kira sejam sebelum itu.
Dia berkata, kurang lima minit kemudian berlaku fenomena kepala air menyebabkan air sungai melimpah hingga ke kawasan letak kenderaan sekali gus menghanyutkan sekurang-kurangnya dua buah kenderaan.
“Sebelum kejadian, saya dan ahli keluarga lain yang sedang seronok mandi di lata tersebut sempat naik ke tebing sebaik melihat tanda-tanda air sungai menjadi keruh.
“Tidak lama kemudian berlalu fenomena kepala air. Agak mencemaskan kira-kira lapan pengunjung hampir lemas sebelum sempat diselamatkan kami,” katanya di sini hari ini.
Ridzuan berkata, fenomena kepala air itu menyebabkan kesemua pengunjung terperangkap di lokasi kejadian lebih tiga jam sebelum diselamatkan pasukan bomba pada pukul 8.30 malam.
Peniaga berkata, ia disebabkan kerana laluan utama di Lata Ulu Kasar itu tidak dapat dilalui kerana dilimpahi banjir kilat. – KOSMO! ONLINE