JOHOR BAHRU – Dua beradik rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini hari ini.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.41 petang itu mengorbankan mangsa Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Ridzuan Malek Rivan berkata, seramai 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kejadian itu.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dan mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan rumah. Terdapat dua mangsa telah ditemui rentung di bilik tidur.
“Kerja-kerja pemadaman telah dilakukan oleh orang awam menggunakan air paip. Tindakan operasi pemadaman susulan dilakukan pihak bomba sehingga keadaan terkawal kira-kira pukul 2.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan jenazah dua beradik itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE