KUALA KURAU – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca bersama tiga kru nelayan tempatan di muara Kuala Kurau semalam kerana melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, kesemua mereka ditahan di kedudukan 10.4 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau pada pukul 11.15 pagi semalam.
Beliau berkata, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda APMM telah mengesan sebuah bot gentian kaca dan anggotanya merapati bot tersebut untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan tiga kru nelayan tempatan termasuk tekong berada di atas bot terbabit berumur antara 27 hingga 49 tahun.
“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, menurut Mohd. Najhan, dianggarkan sebanyak 200 kilogram ikan campur turut ditemui di atas bot semasa pemeriksaan.
Katanya, kesemua kru, bot, ikan campur dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.- KOSMO! ONLINE