MELAKA – Taktik tiga lelaki membeli diesel bersubdsidi dari stesen minyak di sekitar negeri ini dan Negeri Sembilan bagi kegunaan pasaran gelap gagal selepas dicekup polis di kawasan Perindustrian Krubong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia berusia antara 32 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, tangkapan itu membabitkan seorang lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh.
“Sindiket ini dipercayai menjadikan gudang tersebut sebagai pusat operasi bagi memindahkan minyak dari lori tiga tan ke tangki penyimpanan sementara.
“Pemeriksaan di premis berkenaan kita merampas 35,970 liter diesel, sebuah lori tangki, sebuah lori tiga tan dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan itu dengan jumlah keseluruhan rampasan RM302,535,” katanya sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut merampas wang tunai RM26,000 dalam serbuan tersebut.
Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi sindiket adalah membeli minyak diesel tersebut daripada stesen minyak di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan menggunakan lori tiga tan.
“Bekalan itu kemudiannya akan dijual kepada peraih pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
“Peraih membeli minyak diesel ini lebih murah daripada harga pasaran iaitu RM2.15 seliter dan akan dipasarkan pada industri tempatan atau pasaran gelap pada harga RM3.50 hingga RM4 seliter,” ujarnya.
Jelasnya, hasil soal siasat kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Jun lalu sebelum dikesan pasukan risikan.
Katanya, kesemua siasat ditahan dan kes akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan undang-undang.